Khamis, 29 April 2010

Sejauh mana bergeraknya orang Melayu?

Maksudnya di sini ialah sejauh mana orang-orang Melayu berubah corak kehidupan mereka dalam meniti arus kemodenan di negara ini. Secara mudahnya begini, jika saya anak seorang penoreh getah sejauhmana mana saya dapat berada kini, dan sejauhmana pula Tan Sri Zeti Akhtar Aziz anak Prof Diraja Ungku Aziz bergerak kehadapan. Sememangnya saya harus bersyukur kerana Tuhan telah mengubah rezeki dan cara saya mencari rezeki di mana saya tidaklah perlu turun menoreh getah saban pagi dengan jumlah pendapatan yang tidak menentu. Cuma pandangan saya adalah untuk melihat sejauh mana seorang anak petani, nelayan atau buruh kasar boleh merubah nasib berbanding generasi ibubapa mereka. Jika seperti yang dikatakan tadi Anak Penoreh rata-rata mampu beralih kepada Seorang Guru berbanding Anak Seorang Profesor yang bergerak menjadi Gabenor Bank Negara. Mungkin anak penoreh hanya bergerak selangkah sahaja sedang anak seorang profesor pula mampu mungkin sepuluh langkah kehadapan.
Jika kita toleh ke belakang kenapa terjadinya sedemikian, bagi saya senang sahaja jawapannya. Bawakan situasi saya di zaman persekolahan, balik saja sekolah letak beg, makan dan solah kemudian terus saja bersama sekawan kambing yang kami pelihara untuk membantu menambah pendapatan keluarga. Malamnya seawal pukul sembilan balik dari surau barulah dapat menyiapkan kerja-kerja sekolah hanya dengan insiatif diri sendiri. Tanpa tuisyen atau sebagainya yang membantu pembelajaran saya. Hujung minggu terpaksa turun bersama keluarga ke kebun getah atau kebun jagung sekangkang kera. Ini amat berbanding dengan anak seorang profesor yang sudah pastinya balik saja dari sekolah terus ke pusat tusiyen dsbnya lagi. Di rumah pun ibubapa pasti dapat membantu mereka. Bukanlah saya merasa dengki atau hiri hati, bagi saya apa yang mereka perolehi itulah rezeki mereka dan apa yang saya dapat adalah rezeki saya...betul tak?
Cuma terlintas di benak fikiran ini kadang bertanya juga kenapa saya mempunyai keadaan yang berbeza dengan orang-orang hebat itu....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan